Saturday, April 18, 2009

Maklumat Ringkas Mengenai Masjid Jamek Sabak Uni, Parit Raja, Batu Pahat, Johor

Oleh: Siti Noorhani Binti Jehad

Masjid Jamek Sabak Uni terletak di KM24 Jalan Kluang di Kampong Parit Nipah Laut, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Masjid yang bercat hijau dan putih ini telah dibina hampir 58 tahun. Begitupun masjid yang ada sekarang ini telah di bina semula lebih kurang 7 tahun yang lalu. 58 tahun yang lalu saiz masjid ini lebih kecil jika di bandingkan dengan yang ada sekarang dan hanya berdindingkan kayu. Selepas perang masjid ini telah dibina semula dan diperbesarkan. Tuan tanah masjid ini telah mewakafkan bahagian belakang tanah masjid sebagai tanah perkuburan. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Setiap masjid pasti menyediakan kemudahan asas untuk kegunaan jemaah yang menggunakannya. Begitu juga dengan masjid saya. Antara kemudahan asas yang disediakan dan penting ialah tandas. Masjid ini mempunyai 4 tandas untuk kegunaan jemaah muslimin dan 4 tandas untuk kegunaan jemaah muslimah. Selain itu terdapat juga 2 buah bilik mandi dimana sebuah untuk lelaki dan sebuah lagi untuk wanita. Setiap bilik mandi menyediakan pancuran bersama sebiji baldi dan gayung untuk mereka yang tidak berasa selesa menggunakan air pancuran. Pili air di tempat mengambil wudu’ lelaki ada lebih kurang 20 buah. Manakala di luar disediakan sebanyak 7 buah pili. Sebanyak 10 buah pili disediakan untuk jemaah wanita. Selain itu terompah dan selipar tandas juga disediakan untuk kemudahan jemaah. 3 pasang untuk lelaki dan 3 pasang untuk wanita. Cermin muka turut disediakan iaitu sebanyak 4 buah dimana 2 untuk lelaki dan 2 untuk wanita. Masalah yang dihadapi ialah selipar tandas yang disediakan seringkali di curi. Cermin muka yang disediakan pecah namun telah diganti baru. Segala masalah yang wujud dapat di atasi dengan baik.

Ruang solat yang disediakan cukup selesa untuk kegunaan jemaah. Permaidani memenuhi dalam masjid. Sejadah yang ada juga cukup banyak. Pengadang bahagian wanita menggunakan tirai. Kemudahan yang disediakan di bahagian wanita juga baik. Sebanyak 12 helai telekung wakaf disediakan untuk kemudahan jemaah muslimah. Telekung ini juga selalu dibasuh agar sentiasa bersih. Setiap minggu penduduk kampung wanita akan bergilir-gilir membasuh telekung di masjid agar kebersihannya terjamin. Turut disediakan ialah air mineral yang diletakkan dibahagian belakang bahagian wanita dan untuk jemaah lelaki pula di letakkan berdekatan dengan pintu utama.

Kemudahan lain yang disediakan ialah bahan bacaan. Bahan bacaan seperti surah yassin disimpan di dalam perpustakaan mini. Sebanyak 200 buah yassin disediakan untuk kegunaan jemaah lelaki dan wanita. Biarpun ia adalah sebuah perpustakaan, namun tiada perkhidmatan pinjaman buku disediakan kerana kekurangan kakitangan. Perpustakaan ini kecil saiznya. Menempatkan 3 buah rak buku dan 2 buah meja. Jenis-jenis buku yang terdapat di dalamnya adalah buku-buku agama, tafsir al-quran, terdapat juga buku-buku sejarah dan majalah ilmiah. Kadang-kala perpustakaan ini turut digunakan sebagai tempat mesyuarat.

Peralatan yang paling penting bagi sebuah masjid adalah P. A System. Pembesar suara yang besar ada 4 buah. 2 di letakkan di hadapan dan selebihnya diletakkan di belakang. Mikrofon pula disediakan sebanyak 3 buah. Sound tidak terkira. Semua peralatan ini disimpan di dalam bilik yang berkunci. Setakat ini tiada lagi kejadian kecurian yang dilaporkan. Mikrofon kadang-kala rosak. Sekiranya mikrofon rosak siak, Tuan Haji Ajudi akan bertanggungjawab membetulkannya. Biasanya mikrofon akan diperiksa sebelum solat jumaat.

Persekitaran masjid pula disusun dengan pasu bunga kertas. Bunga kertas dipilih kerana mudah untuk dijaga. Warna yang dipilih pula adalah warna merah, merah hati, ungu, oren, putih kemerahan dan yang paling menarik hati saya adalah bunga kertas berwarna putih. Di kuburan pula terdapat rumpunan buluh dan pokok bunga melor. Aroma bunga ini seringkali membangkitkan keseraman dan mampu menegakkan bulu roma. Di hadapan masjid terdapat juga 2 batang tiang bendera yang mana sebatang berkibarnya Jalur Gemilang dan sebatang lagi berkibarnya bendera negeri Johor. Tempat letak kenderaan yang banyak. Begitupun ketika waktu solat jumaat tempat letak kenderaan tidak mencukupi memaksa jemaah meletakkan kenderaan mereka di padang sekolah yang terletak di sebelah masjid.

Perkakasan untuk kematian dan kenduri seperti keranda, perkakas mayat, pinggan dan mangkuk, kawah, periuk dan cawan turut ada di masjid ini. Penduduk kampong akan bergotong-royong atau dalam bahasa kami ‘rewang’ untuk sesuatu majlis.

Masjid ini menjadi tumpuan kerana kampong berdekatan tidak mempunyai masjid sebaliknya hanya memiliki surau. Sekurang-kurangnya 5 buah kampong sekitar menggunakan Masjid Jamek Sabak Uni. Majoriti penduduk kawasan ini berketurunan jawa. Sekolah rendah dan tadika terletak bersebelahan dengan masjid ini. Kampung saya masih mempunyai nilai kekampungan yang belum lagi lupus dalam dunia yang mementingkan diri ini. Saya amat bersyukur tinggal di kawasan kejiranan ini.

Setiap masjid pasti ada aktiviti yang dilaksanakan. Tidak kurang juga masjid ini, setiap hari pasti ada aktivitinya. Pengajian. Setiap isnin hingga jumaat selepas subuh diadakan Program Membudayakan al-Quran seperti yang disarankan oleh Sultan Johor. Pada setiap isnin malam selasa pula diadakan kelas agama ataupun ‘usrah’ yang dibimbing oleh imam. Kadangkala pendakwah bebas turut dijemput untuk menambahkan pengetahuan. Setiap malam sabtu pula diadakan kelas sunah dan hadis selepas subuh. Kelas ini mendapat sambutan dari golongan emas penduduk kampung. Kelas tajwid pula diadakan pada malam ahad. Namun begitu setiap kali program membudayakan al-Quran imam akan memberikan sedikit sebanyak info mengenai tajwid.

Duit khairat dikutip setiap jumaat. Kebiasaannya lebih kurang RM 550 dapat dipungut dalam sekali kutipan. Selain itu, gotong-royong pula biasanya diadakan 3 kali setahun. Sambutan penduduk kampong amat menggalakkan. Makanan dan minuman disediakan oleh pihak masjid. Namun begitu kebiasaannya ada penduduk yang bermurah hati menaja makanan dan minuman untuk penduduk. Program seperti ini biasanya mendapat sambutan yang baik dari penduduk kampung. Program seperti ini dapat mengeratkan sillaturrahim atau ikatan persaudaraan antara penduduk. Ini adalah salah satu faktor mengapa ukhwah antara penduduk kampung rapat. Kami akan saling bantu-mambantu jika ada antara kami yang sakit atau dalam kesusahan. Inilah antara sebab mangapa ramai orang ingin tinggal di kampung.

Di kampung saya semua hari kebesaran disambut. Contohnya seperti Awal Muharam, Hari Asyura’, Maulud Nabi, Nuzul al-Quran, Nisfu Sy’aban, Isra’ Mikraj dan semua hari kebesaran. Pada Hari Asyura’ kami akan bergotong-royang membuat bubur. Hari seperti Maulud Nabi dan Isra’ Mikraj kebiasaannya akan di jemput penceramah jemputan seperti Maulud Nabi yang baru saja lepas, pihak masjid menjemput ustazah yang dikenali dengan nama ‘cakar harimau’ iaitu Ustazah Siti Nurbahyah yang hadir membawa bersama suaminya, Ustaz Akasyah. Mengambil ucapan pengerusi masjid “ mintanya satu datangnya dua, bonus untuk kami”. Amat meriah sekali hari kebesaran seperti ini. Apatah lagi jika hari perayaan seperti Aidiladha ataupun Aidilfitri. Ketika Aidiladha beberapa tahun lalu sebanyak 5 ekor lembu dikorbankan. Satu-satunya saya menyaksikan lembu ditumbangkan. Untuk tahun itu ibu saya terpaksa membeli daging lembu lain untuk saya kerana saya tidak sanggup untuk makan daging lembu itu. Amat sedih ketika melihat lembu itu ditumbangkan. Seolah binatang itu telah tahu akan ajalnya dan mengalirkan airmata. Itulah kali pertama dan terakhir saya melihat upacara korban. Ketika Aidilfitri hari raya ke 2 ada marhaban. Penduduk akan bergerak dari rumah ke rumah dan bermarhaban. Setiap rumah lebih kurang 5 minit. Masalah yang dihadapi adalah dari pihak penceramah. Dua tahun lepas penceramah yang dijemput tidak dapat hadir pada saat terakhir terpaksalah pengerusi masjid mancari pengganti. Selepas peristiwa ini tidak pernah lagi timbul masalah seperti ini. Makanan dan minuman serta kehadiran tiada masalah langsung.

CARTA ORGANISASI

1. PENGERUSI
Nama : Tuan Haji Mos @ Muhsin Bin Ibrahim.
Alamat : Kg. Parit Nipah Laut, Km24, Jalan Kluang, 86400, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Pekerjaan : Pesara Guru
Pendapatan : ± RM 850. 00
Usia : 61 tahun
Perkhidmatan : 3 tahun.
Aktiviti yang diadakan :
1. Menganjurkan gotong-royong
2. Mengadakan temujanji dengan penceramah.
3. Banyak lagi tidak dapat dinyatakan.
Masalah : Terpaksa mencari penceramah gantian.

2. IMAM
Nama : Tuan Haji Amin Bin Mesran.
Alamat : Kg. Parit Nipah Laut, Km 24 Jalan Kluang, 86400, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Pekerjaan : Guru Besar Sekolah Agama.
Pendapatan : ± RM 1500
Usia : 56 tahun
Perkhidmatan : 5 tahun
Aktiviti yang diadakan :
1. Mengadakan kelas haji.
2. Membimbing kelas agama.
Masalah yang dihadapi : -


Imam Pembantu
Nama : Tuan Haji Mustajab
Alamat : Kg. Parit Sumarto, Jalan Kluang, 86400, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Pekerjaan : Pesara Guru Agama
Usia : 61 Tahun
Perkhidmatan : Setahun

3. BILAL
Nama : Tuan Haji Suratekun Bin Anamrejo
Alamat : Kg. Parit Bingan, Km24, Jalan Kluang, 86400, Parit Raja, Batu Pahat, Johor
Pekerjaan : Bekerja Sendiri
Pendapatan : RM 350
Usia : 73 tahun
Perkhidmatan : 30 tahun

Bilal Pembantu
Nama : En Samsuddin Bin Siran
Alamat : Kg. Parit Hj Ali, Km24, Jln Kluang, 86400, Parit Raja, Batu
Pahat, Johor.
Pekerjaan : Tukang Kebun Sekolah
Usia : 50 tahun
Perkhidmatan : 5 tahun

4. SIAK
Nama : Tuan Haji Ajudi Bin Osman
Alamat : Kg. Parit Hj Ali, Km24, Jln Kluang, 86400, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Pekerjaan : Peniaga Nasi Lemak
Pendapatan : ± Rm 900
Perkhidmatan : 10 tahun
Aktiviti yang dilakukan :
1. Membersihkan mesjid setiap minggu.
2. Mengajak budak-budak muda membersihkan masjid setiap minggu dengan membelanja nasi lemak.
3. Membentangkan sejadah untuk solat jumaat
4. Memeriksa keadaan mikrofon ontuk digunakan dalam Solat jumaat.

Masalah : tandas selalu kotor


5. BENDAHARI
Nama : Tuan Haji Ahmad Bin Madi
Alamat : Kg, Parit Nipah Laut, Km24, Jln Kluang, 86400, Parit Raja, Batu Pahat,
Johor.
Pekerjaan : Pesara Guru Agama
Pendapatan : ± RM800
Usia : 59 tahun
Perkhidmatan : 10 tahun
Aktiviti yang diadakan : Projek Masjid
Baki : ± RM 1000

KESIMPULAN
Kelebihan masjid ini adalah kerana lokasi yang strategik. Terletak di tepi jalan. Tumpuan para musafir untuk berhenti. Berdekatan dengan sekolah. Kawasan masjid yang mempunyai kubur. Masjid terdekat lebih kurang 2 kilometer iaitu Masjid Parit Raja tidak mempunyai kubur. Sekali lagi masjid ini menjadi tumpuan.

Masjid ini mempunyai sejarah tersendiri. Usia masjid yang lebih dari umur kemerdekaan Malaysia menceritakan masjid ini bersejarah. Telah dibina semula sebanyak 6 kali. Masjid ini pernah dijadikan sekolah dan pernah menjadi tempat berlindung ketika zaman perang. Begitupun, kampung berdekatan dalam pembinaan masjid baru untuk menampung pertambahan penduduk dikawasan Parit Raja.

Hasil nukilan dan idea oleh :
Siti Noorhani Binti Jehad
2004123153
IMK kumpulan B

Untuk tatapan Ustaz Abdul Aziz

SUMBER RUJUKAN :

Pengerusi Masjid, Tuan Haji Mos @ Muhsin Bin Ibrahim
Isteri Tuan Imam, Hajah Aminah
Tuan Haji Jehad Bin Mohamad Salleh
En Samsuddin Bin Siran
Tuan Haji Ajudi Bin Osman
Tuan Haji Ahmad Bin Madi

25 September 2005
Sunday.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com


No comments: