Friday, April 17, 2009

Maklumat Ringkas Mengenai Masjid Jamek Darul Sakinah

Oleh:Mohd Amirul Adha Bin Rozlan

Masjid ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al-Haj. Baginda merupakan Tengku Mahkota bagi negeri Johor yang disifatkan sebagai Sultan Berjiwa Rakyat dikalangan penduduk negeri ini.

Masjid ini telah dirasmikan oleh Baginda pada 17 Jamadilawal 1425 Hijrah yang mana bersamaan dengan 24 Jun 2005 Masihi. Pada asalnya, masjid ini dinamakan sebagai Masjid Jamek Kg Seri Belahan Tampok namun setelah dirasmikan oleh Yang Mulia Tengku Mahkota, masjid ini telah diberi nama baru iaitu Masjid Jamek Darul Sakinah.

Masjid ini terletak di Kg Seri Belahan, 83100 Rengit, Batu Pahat, Johor yang merupakan kampung terakhir bagi daerah Batu Pahat dan bersempadan dengan daerah Pontian. Kampung ini seperti kebanyakan kampung lain yang terdapat di negeri Johor iaitu terbahagi kepada 3 jalan kampung yang diberi nama berbeza bagi memudahkan orang luar datang ke kampung kami. Nama tersebut ialah
Kg Seri Belahan Laut
Kg Seri Belahan Tengah
Kg Seri Belahan Darat

Setiap bahagian kampung ini terdapat beberapa buah surau. Bilangan kesemua surau yang sedia ada sebanyak 4 buah surau. Walaupun memiliki 4 buah surau tetapi induk bagi segala aktiviti yang berkaitan perihal keagamaan bagi penduduk kampung kami semuanya tertumpu kepada Masjid Darul Sakinah.

Antara aktiviti paling besar dan menjadi kenangan manis bagi setiap penduduk di sini adalah kesudian Tengku Mahkota Johor datang menziarahi kampung kami sekaligus merasmikan masjid yang baru siap di bina ini. Tengku yang ketika itu di dalam program KEMBARA MAHKOTA JOHOR telah menjadikan masjid kami sebagai salah satu tempat persinggahan baginda untuk menyampaikan bantuan-bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan seperti beca, basikal dan lain-lain lagi. Disamping itu, Tengku juga sempat beramah mesra bersama rakyat jelata sehingga jam 12 malam.

Bilangan penduduk kampung yang semakin bertambah merupakan antara faktor Masjid Darul Sakinah ini dibesarkan agar dapat menampung bilangan jemaah pada satu-satu masa. Ketika dalam pembangunan semula masjid ini, Surau 1 di Kg Seri Belahan Darat telah dijadikan sebagai masjid sementara bagi kesemua urusan seperti setiap kali sembahyang Hari Raya atau Jumaat atau sembahyang lima waktu bagi menunaikan kewajipan mereka.

Pengubahsuaian masjid ini mengambil masa lebih kurang 2 tahun dengan anggaran kos sebanyak RM1. 25 juta. Justeru dengan tersergam indahnya masjid ini, maka ditubuhkan satu organisasi baru agar perjalanan masjid ini dapat dilaksanakan dengan jayanya sejajar dengan fungsi masjid-masjid lain di luar sana. Ahli-ahli organisasi Masjid Jamek Darul Sakinah ini telah dipilih sendiri oleh penduduk kampung berdasarkan kemampuan mereka memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

Ahli-ahli yang dimaksudkan ialah setiausaha, penolong setiausaha, bendahari dan ahli jawatankuasa yang lain.

Sebagai masjid utama, banyak aktiviti yang telah dijalankan malahan aktiviti yang bakal dilaksanakan dan masih dalam perbincangan juga pastinya akan tertumpu pada Masjid Jamek Darul Sakinah ini. Antara aktiviti yang dijalankan ialah menerusi pengajian dan pendidikan setiap hari , selepas solat fardhu subuh dan maghrib juga diadakan kuliah bagi para jemaah. Kuliah ini boleh diikuti semua jemaah samada lelaki atau perempuan.

Namun begitu keistimewaan jemaah wanita tetap tidak terpinggir kerana masjid ini mengadakan kelas fardhu Ain untuk ibu-ibu yang dianjurkan Biro Hal Ehwal Wanita dengan kerjasama Biro Pendidikan & Dakwah. Kelas Fardhu Ain ini diadakan setiap hari Rabu dan Khamis jam 3. 00 hingga 5. 00 petang. Selain itu, kelas Tajwid juga diadakan bagi golongan kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 4 hingga 12 tahun. Kelas ini pula diadakan setiap Jumaat malam Sabtu dan Sabtu malam Ahad selepas menunaikan solat Isyak hingga jam 10. 00 malam.

Selain itu, masjid ini mempunyai sistem Khairat seperti Khairat Kematian. Oleh itu, setiap kali selepas solat Jumaat akan diadakan kutipan derma oleh ahli-ahli kariah masjid kepada para jemaah. Setelah selesai semuanya, duit tersebut akan dikira dan di simpan ke dalam peti khas dan diserahkan kepada bendahari masjid untuk disimpan. Setelah cukup sebulan wang kutipan tersebut akan di keluarkan bertujuan membuat kebaikan dan amal jariah seperti memberi bantuan kepada keluarga miskin yang memerlukan, bantuan persekolahan untuk anak-anak yatim, balu-balu kematian suami yang telah uzur, membersihkan kubur dan juga mengadakan kenduri kesyukuran dan doa keselamatan bagi kesejahteraan hidup sekampung agar sentiasa hidup dalam keadaan aman dan harmoni bermasyarakat. Jumlah kutipan tersebut boleh mencecah sehingga RM1, 000. 00 hingga RM2, 000. 00 sebulan. Segala aktiviti tersebut dijalankan bersama-sama bagi mengeratkan lagi tali silaturrahim yang telah sedia terjalin. Seperti kata pepatah “BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH”.

Biro Kebersihan dan Keceriaan juga melaksanakan tugas mereka dengan bergotong-royong. Aktiviti ini diadakan sebulan sekali dan ianya mendapat sambutan dari penduduk kampung tidak kira yang muda dan yang tua turut serta menjayakannya. Kumpulan gotong-royong ini akan dibahagikan beberapa bahagian bagi memastikan semuanya dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menceriakan lagi persekitaran masjid. Selain bahagian membersihkan persekitaran masjid, terdapat juga bahagian penyediaan makanan dan minuman bagi peserta gotong-royong. Ada juga di kalangan penduduk yang bermurah hati menyediakan makanan sendiri bagi menjamu peserta gotong-royong.

Seperti diawal keterangan tadi, Masjid Jamek Darul Sakinah ini akan melaksanakan beberapa hari kebesaran seperti Maulidur Rasul. A’syura, Nisfu Syaaban, Nuzul Quran dan yang terbaru Israk Mikraj. Dalam majlis sebegini, bantuan tenaga daripada penduduk kampung amat diperlukan bagi menjayakan majlis gilang gemilang ini. Setiap kali majlis besar ini diadakan ramai juga penduduk yang bermurah hati menderma kambing atau lembu bagi menjayakan lagi majlis ini. Namun masih terdapat juga masalah dimana sesetengah majlis tersebut tidak mendapat sambutan terutama daripada golongan muda dewasa ini. Peruntukan wang yang terhad juga mengurangkan lagi kemeriahan suasana sesuatu majlis itu berlangsung.

Masjid ini boleh dianggap sempurna kerana terdapat kemudahan asas yang baik. Di masjid ini terdapat 2 bilik air utama iaitu bilik air wanita dan lelaki.

BILIK AIR LELAKI
Dindingnya dicat berwarna biru. Manakala jubinnya turut berwarna biru. Bilik air tersebut mempunyai tandas sebanyak 6 tandas dan 2 bilik mandi. Jumlah pili untuk mengambil wuduk pula 10 batang. Di bilik air ini juga terdapat 3 sinki untuk membasuh tangan tetapi tiada cermin muka disediakan. Selain itu juga trompah wakaf juga turut disediakan bagi pengguna bilik air ini.

BILIK AIR WANITA
Dindingnya dicat berwarna merah jambu (pink). Manakala jubinnya turut berwarna merah jambu (pink). Bilik air tersebut mempunyai tandas sebanyak 6 tandas dan 2 bilik mandi. Jumlah pili untuk mengambil wuduk pula 10 batang. Di bilik air ini juga terdapat 3 sinki untuk membasuh tangan tetapi tiada cermin muka disediakan. Selain itu juga trompah wakaf juga turut disediakan bagi pengguna bilik air ini.

Tabung bagi derma khusus untuk bilik air turut diletakkan di luar pintu bilik air. Selain daripada kemudahan tersebut, terdapat juga masalah yang timbul iaitu gangguan bekalan air yang kerap dihadapi penduduk kampung kami. Ini menyukarkan penduduk kampung untuk menggunalan tandas dan terpaksa pulang ke rumah untuk menunaikan hajat masing-masing.

Bagi ruang solat di dalam masjid disediakan kemudahan karpet bertujuan menggantikan sejadah. Sejadah hanya disediakan untuk kegunaan IMAM sahaja. Namun begitu jika ramai jemaah yang hadir maka tikar mengkuang akan digantikan sebagai sejadah bagi mereka yang bersolat di luar masjid seperti di kaki-kaki lima masjid seperti ketika menunaikan solat Hari Raya setiap tahun. Manakala ¼ daripada masjid ini digunakan sebagai tempat jemaah bagi kaum wanita pula. Papan pengadang wanita digunakan sebagai perantara bagi jemaah lelaki dan wanita. Di masjid ini tidak disediakan kain pelikat wakaf lelaki tetapi disediakan kain telekung wakaf. Kebersihan pakaian solat ini terjamin kebersihannya kerana ianya dibasuh oleh siak masjid yang dipertanggungjawabkan.

Menurut perancangan ahli kariah masjid, minyak wangi dan songkok akan diwakafkan untuk kegunaan jemaah tidak lama lagi. Selain itu, terdapat juga beberapa kabinet yang sederhana besarnya bertujuan meletakkan bahan bacaan seperti Al-Quran untuk kegunaan jemaah yang hadir. Sebagai permulaan, bahan-bahan bacaan yang terdapat di masjid ini ialah terdiri daripada Al-Quran dan Terjemahannya dan kitab suci YASSIN. Tetapi pada masa akan datang akan bertambah bahan bacaan berunsurkan keagamaan seperti majalah dan risalah-risalah. Jumlah Al-Quran yang terdapat di sini ialah 150 buah kitab, manakala Al-Quran dan Terjemahannya pula terdapat 100 buah dan juga kitab surah Yassin sebanyak 250 buah kitab.

Di masjid ini juga terdapat ‘sound’ kira-kira 10 buah dan pembesar suara atau ‘speaker’ termasuk di menara masjid ialah sebanyak 10 buah juga. Manakala mikropon pula terdapat 5 biji sahaja yang di gunakan setiap kali khutbah jumaat dan majlis-majlis tertentu. Terdapat juga kerosakan yang dihadapi oleh P. A sistem ini ialah kesilapan sewaktu penyambungan wayar sehingga menjejaskan fungsi pembesar suara itu sendiri. Tetapi keselamatan P. A ini terjamin kerana sehingga kini belum ada berlaku kecurian ataupun rompakan.

Persekitaran masjid ini dihiasi indah dengan susunan landskap yang teratur dan cantik. Pasu bunga yang digunakan sebanyak 30 buah bagi menghiasi persekitaran masjid dan selebihnya di tanam terus ke tanah.

Tempat meletak kenderaan di kawasan masjid ini boleh dikatakan luas. akan tetapi hanya tempat meletak motosikal sahaja yang disediakan bumbung atau garaj. Ini kerana penduduk kampung lebih selesa menunggang motosikal untuk ke masjid.

Di masjid ini disediakan 2 bilik khas iaitu Pejabat Pentadbiran masjid dan Bilik Tetamu (bagi penceramah-penceramah undangan atau tetamu luar). Pasti tetamu atau sesiapa sahaja akan rasa selesa dengan bilik-bilik berkenaan kerana dijaga dengan baik. Manakala peralatan untuk kenduri kendara atau bergotong-royong seperti periuk belanga, pinggan mangkuk, kawah, cawan dan lain-lain di simpan di stor barangan yang disediakan. Barangan-barangan tersebut biasanya dipinjam oleh penduduk kampung bagi yang ingin mengadakan kenduri kahwin atau kenduri-kendara di rumah mereka. Tiada bayaran dikenakan kecuali khemah dan kayu api. Peralatan seperti keranda, perkakasan mayat disediakan di Surau 1 kerana surau tersebut lebih dekat dengan tanah perkuburan lantas memudahkan waris simati dan penduduk kampung menyempurnakan jenazah simati.

Bersempena bulan Kemerdekaan , masjid ini tidak ketinggalan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera-bendera dari negeri lain. Sebanyak 14 tiang bendera dipacakkan di kawasan luar pagar masjid bagi menceriakan lagi suasana masjid. Pada setiap pagar pula, diletakkan lampu-lampu berbagai warna yang berupaya menerangi laluan masuk serta kawasan masjid. Jumlah lampu-lampu tersebut adalah lebih kurang 12 buah lampu.
Kelebihan masjid ini ialah dapat memuatkan sehingga 1500 orang jemaah dalam satu-satu masa.

Saya sebagai salah seorang anak jati kampung ini mencadangkan agar masjid ini menyediakan sebuah kelas tadika berunsurkan Islam seperti Taski untuk anak-anak kecil sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan sebenar. Saya juga berharap agar pihak masjid lebih menitik beratkan kebersihan bilik air dan tempat mengambil wuduk kerana kelihatan kotor dengan tanah liat dan pasir serta tahi-tahi cicak yang bertaburan di sana sini. Akhir sekali saya berharap serikanlah lagi masjid ini dengan aktiviti keagamaan dan semoga anak-anak muda kampung dapat bersama-sama menyertai setiap aktiviti yang diadakan.


Monday, October 03, 2005

No comments: