Friday, April 17, 2009

Maklumat Ringkas Mengenai Masjid Ajil, Terengganu.

Oleh: Mohd Zulkifli Bin Chik

Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat saya menyiapkan tugasan yang diamanahkan oleh Ustaz Abd. Aziz bin Harjin tepat pada masanya. Tugasan ini berkenaan tentang peranan dan fungsi masjid. Tugasan ini dijalankan di Masjid Ajil, Terengganu. Masjid ini merupakan masjid utama di kampung saya iaitu Kampung bukit diman. Kajian dijalankan pada 7 September 2005. Semasa kajian dijalankan, saya ditemani oleh seorang rakan yang bertindak sebagai penolong saya.

Saya menemuramah Imam masjid tersebut iaitu Tuan Haji Che Mat bin Tuan Haji Ahmad. Beliau tinggal berhampiran dengan tempat saya tinggal dan ini memudahkan saya menjalankan kajian. Segala soalan yang saya ajukan dijawab dengan baik dan beliau memberikan kerjasama yang memuaskan. Saya tidak mengalami sebarang masalah semasa sesi menemuramah beliau.

Masjid ini dibina pada tahun 1986 sama dengan tahun kelahiran saya dan ia telah diubahsuai dan dibaik pulih semula pada tahun 2002. Kawasan persekitaran masjid ini dijaga dengan baik oleh penduduk kampung. Persekitarannya yang ceria dan bersih memberi keselesaan kepada orang ramai yang berkunjung untuk melakukan ibadah.

Masjid Ajil ini dipengerusikan oleh En. Ali bin Mohd. Beliau berumur 48 tahun yang beralamat 85 Jalan Tengah kampung Bukit Diman Ajil Terengganu, . Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Ajil. Beliau adalah seorang pekerja di (TNB) Tenaga Nasional Berhad. Beliau telah bertugas sebagai pengerusi masjid ini selama 2 tahun. Sepanjang beliau bertugas sebagai pengerusi masjid, banyak perubahan dan kelainan yang telah dilakukan. Kawasan masjid menjadi bertambah ceria dan kawasan ruang solat juga dilakukan perubahan. Untuk lebih menarik perhatian orang ramai masjid tersebut, pelbagai aktiviti telah dilakukan. Antaranya ialah pengajian Ilmu Fardhu Ain kepada kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun. Kanak-kanak ini merupakan pelajar sekolah rendah disekitar Pekan Ajil terutamanya Sek. Keb. Ajil. Beliau juga ingin memperbanyakkan lagi perisian pengajian untuk kepentingan bersama.

Setelah selesai menemuramah pengerusi masjid, saya dan rakan telah pergi ke rumah Imam masjid tersebut. Beliau ialah Tuan Haji Che Mat bin Tuan Haji Ahmad. Beliau tinggal di kediaman yang beralamat 224-kampung Bukit Diman 21800 Ajil Terengganu. Beliau merupakan seorang pesara kerajaan. Dahulu, beliau ialah seorang guru yang mengajar di Sek. Men. Keb. Ajil. Beliau berumur 67 tahun. Walaupun telah berumur, tetapi beliau masih kelihatan tegap seperti seorang yang berumur 50-an. Beliau bertanggungjawab mengajar kanak-kanak membaca Al-Quran. Sesi pembelajaran Al-Quran untuk orang dewasa juga terdapat di majid ini pada ari minggu malam jumaat.

Seseorang yang bertangggungjawab mencatat minit mesyuarat dan menyediakan segala dokumen untuk tujuan formal ialah Setiausaha masjid. Beliau dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dokumen dan kertas kerja sekiranya pihak masjid ingin meminta sumbangan daripada pihak kerajaan untuk membangunkan lagi masjid. Beliau ialah Tuan Haji Rahmat Bin Lamat. Beliau berumur 45 tahun dan beliau mempunyai perniagaan sendiri. Beliau mempunyai lading yang luas dan berkerja menjual hasil ladangnya. . Tempat kediaman beliau beralamat 86-RAKR Tok Randok Ajil Terengganu. Beliau memberitahu beliau tidak mengalami sebarang masalah dalam menjalankan tugas sebagai Setiausaha di sini. Ini kerana, semua Ahli Jawatankuasa Masjid Ajil ini memberikan kerjasama yang terbaik bagi memastikan masjid ini berfungsi sebagai tempat menimba ilmu dan tempat untuk mengeratkan tali silaturahim antara muslimin dan muslimat di kampung ini.

Bendahari juga merupakan orang yang penting dalam sesuatu organisasi termasuk Organisasi Masjid ini. Tanpa bendahari, keadaan kewangan masjid kucar kacir. Bendahari masjid ini bernama En. Mohd bin Othman. Beliau merupakan seorang guru di Sek. Men. Keb. Wakaf Tapai. Beliau berumur 47 tahun. Beliau baru sahaja dilantik menjadi Bendahari Masjid 1 tahun yang lepas. Beliau seorang bendahari yang amanah, segala perbelanjaan dan hasil yang diperoleh direkod sambil diperhatikan oleh dua orang saksi yang boleh dipercayai dan cukup syarat untuk menjadi seorang saksi. Hasil yang diperoleh adalah dari Tabung Masjid yang diletakkan di dalam masjid. Tabung ini dikunci dan dimangga bagi memastikan tiada kecurian berlaku. Ini adalah kerana pernah berlaku kecurian sebelum ni . Orang ramai yang datang ke masjid boleh menyumbang kearah pembangunan ummah melalui derma yang diberikan kepada masjid. Jumlah wang yang terkumpul biasanya dibelanjakan kearah kebaikan seperti menjamu anak-anak yatim makan di masjid. Wang itu juga biasanya digunakan untuk membuat sambutan Hari Maulidur Rasul, Nisfu Syakban dan lain-lain majlis ilmu.

Orang yang terakhir saya temuramah ialah Bilal. Nama beliau ialah Ustaz Mohd Alias bin Said. Beliau tinggal dialamat 16-A, Taman Indah Ajil 21800 Terengganu. Beliau berumur 53 tahun dan telah menjadi bilal di masjid ini selama 3 tahun. Suara beliau begitu merdu menusuk jiwa apabila melaungkan azan. Kebiaaannya beliau merupakan orang pertama tiba di masjid.

Kemudahan asas yang terdapat di masjid ini adalah memuaskan. Terdapat 6 tandas di kedua-dua bahagian iaitu lelaki dan perempuan. Manakala bilik mandi yang diperuntukkan hanya 2 buah setiap bahagian. Terdapat 25 pili air dibahagian wudhuk wanita dan 25 pili air dibahagian wudhuk lelaki. Terdapat sebilangan daripada pili air yang terdapat di bahagian depan masjid selain dari tempat ambik wudhuk. Terompah juga turut disediakan bagi memudahkan jemaah mengambil wudhuk dan pergi ke tandas tapi kebanyakannya dah hilang entah kemana. Terompah yang disediakan adalah lebih kurang 15 pasang tetapi bukan kesemua terompah itu boleh digunakan. Di dalam tandas cermin juga disediakan untuk kegunaan bersama.

Pada ruang solat, permaidani yang lama telah diganti dengan yang baru. Bahagian ruang solat ini terbahagi kepada 2 iaitu lelaki dan perempuan. Ruang solat perempuan adalah dibahagian atas. Di dalam ruang solat juga terdapat rak-rak untuk menyimpan Al-Quran dan Surah Yassin. Rak-rak yang terdapat di dalam masjid ini kelihatan sudah reput dan memerlukan rak yang baru kerana jumlah Al-Quran semakin bertambah. Pakaian sembahyang wakaf juga turut disediakan. Pakaian ini dicuci oleh isteri kepada Imam Masjid iaitu Hajjah Latifah binti Abl. Razak.

Dari segi penggunaan PA system, terdapat 6 buah speaker yang berfungsi, 3 ditingkat bawah dan 3 di tingkat atas manakala hanya satu yang tidak berfungsi. Mikrofon juga disediakan bagi memudahkan Imam mengimamkan solat dan membaca khutbah. PA system ini disimpan di tempat yang paling selamat agar tidak dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Keadaan persekitaran masjid ini amat menarik. Kawasan sekitar masjid ini bebas dari sampah-sampah yang bertaburan di merata-rata tempat kerana 2 minggu sekali diadakan gotong-royong. Terdapat pelbagai jenis bunga yang ditanam di sekitar kawasan luar masjid untuk mengindahkan pandangan seperti bunga kertas, bunga raya, dan bunga loceng. Parking lot yang disediakan tidak mencukupi untuk semua kenderaan yang dating kerana sekarang terlalu banyak kenderaan yang singgah untuk menunaikan solat. Selain dari parking lot, masjid ini juga menyediakan keranda, perkakas untuk memandikan jenazah. Pinggan, mangkuk, gelas dan lain-lain perkakas disediakan untuk sebarang majlis yang menggunakan masjid. Perlatan ini disimpan di dalam stor di bahagian luar legar masjid.

Masjid ini dijadikan tempat menimba ilmu bagi kanak-kanak dan juga golongan dewasa. Aktiviti yang terdapat pada setiap tahun adalah seperti kelas Al-Quran bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa yang ingin terus menuntut ilmu. Kelas ini bermula pada pukul 2. 00 petang selepas zohor sehingga pukul 5. 00 selepas asar. Petang bagi kanak-kanak sekolah 3 kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Selasa, dan Rabu. Manakala bagi orang dewasa, kelas bermula pada pukul 3. 00 petang dan berakhir pada pukul 4. 30 petang 3 kali seminggu iaitu pada hari Khamis, Jumaat, dan Sabtu.

Selain itu, pihak pengurusan masjid juga mengadakan majlis jamuan dan menjemput anak-anak yatim untuk bersama-sama memakmurkan masjid. Sebahagian dari wang tersebut juga didermakan kepada mereka. Sebahagian kecil dari wang tersebut juga digunakan untuk tujuan gotong royong membersihkan kawasan kubur. Aktiviti gotong royong ini biasa dilakukan 1 bulan sekali iaitu pada hari Jumaat sebelum sembahyang jumaat.

Masjid ini juga digunakan untuk sambutan Hari Maulidur Rasul, Majlis Berbuka Puasa dan berbagai aktiviti untuk menarik perhatian golongan muda pergi ke masjid. Kadang-kadang pihak masjid tidak perlu mengeluarkan belanja kerana masing-masing ingin membuat bakti kepada muslimin dan muslimat dengan mendermakan wnag sedikit sebanyak. Pihak masjid juga amat berharap agar segala aktiviti yang dianjurkan mendapat penglibatan semua pihak.

Masjid bukan sahaja tempat melakukan ibadah sembahyang semata-mata tetapi juga sebagai tempat berkumpulnya ummat Islam di sesebuah kawasan perkampungan atau Bandar. Ia dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama manusia. Justeru, kita sebagai umat Islam sepatutnya menjaga masjid dengan baik kerana masjid merupakan rumah Allah. Sesiapa yang pergi ke masjid merupakan tetamu Allah. Janganlah kita membuat perkara yang tidak elok di dalam rumah Allah ini. Kita sepatutnya memakmurkan masjid dengan beramai-ramai pergi sembahyang berjemaah dan mengadakan majlis ilmu. Masjid juga merupakan tempat istirehat bagi musafir. Oleh itu, segala kerosakan yang terdapat harus diperbaik semula agar ummat Islam boleh menggunakan masji dengan lebih selesa.


Monday, October 03, 2005

No comments: