Saturday, April 18, 2009

Maklumat Ringkas Mengenai Masjid Nurul Hidayah, Felda Jelai 2, Gemas

Oleh: Nurul Hasnida Bt Abd Wahab

Masjid Nurul Hidayah (F) Jelai 2 ini dibina pada 13 Ogos 1981 seiring dengan pembukaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Felda Jelai 2. Ia dirasmikan oleh YB Dato’ Yassin b. Bakar, ADUN kawasan Gemas. Pembinaannya mengambil masa selama 3 bulan iaitu sehingga 10 November tahun yang sama. Untuk tempoh itu, penduduk-penduduk Felda ini menunaikan solat Jumaat dan sebagainya di surau (F) Jelai 2. Dalam masa 24 tahun ini, masjid ini mengalami pengubahsuaian sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1990 dan 2002.

Kemudahan-kemudahan asas yang terdapat di masjid ini antaranya adalah bilik air. Terdapat 8 buah tandas lelaki dan wanita. 5 buah pili dan sebuah kolah besar di bahagian lelaki untuk mengambil wudhu’. Manakala di bahagian wanita pula terdapat 10 pili air yang kesemuanya berfungsi dengan baik. Terdapat juga 6 buah bilik mandi di seluruh masjid ini. Namun begitu, terdapat juga masalah-masalah yang melanda, lebih-lebih lagi dari segi kebersihan tandas. Kebersihan tandas dan bilik air tidak dijaga dengan baik, menyebabkan ia tidak dapat digunakan dengan sempurna. Masjid iini juga mempunyai 10 pasang selipar wakaf iaitu 7 pasang di bahagian lelaki dan selebihnya di bahagian wanita untuk digunakan oleh jemaah ke tandas atau mengambil wudhu’. Terdapat juga 2 buah cermin muka, masing-masing satu di bahagian lelaki dan wanita. Bil air dan elektrik dibayar menggunakan hasil derma dari tabung derma yang terletak di tengah-tengah masjid.

Ruang solat masjid ini telah diperbesarkan pada tahun 2002. Ruang solat wanita yang selama ini hanya dipisahkan dengan penghadang besi dan tirai, telah dibina di bahagian kiri belakang ruang solat jemaah lelaki. Kini masjid Nurul Hidayah ini dapat menampung hampir 1000 orang jemaah pada satu-satu masa. Karpet berwarna hijau digunakan untuk menambah keceriaan masjid dan keselesaan para jemaah. Masjid ini juga mempunyai 30 helai sejadah dan 8 gulung tikar yang biasanya digunakan ketika sembahyang hari raya, samada Aidilfitri atau Aidiladha. 7 pasang telekung, 3 helai kain pelikat dan 7 buah songkok dan kopiah disediakan untuk para jemaah yang memerlukannya. Menurut siak masjid ini, pakaian solat ini biasanya dibersihkan oleh jemaah yang tinggal berhampiran.

Masjid ini juga menyediakan bahan bacaan untuk para jemaah. Kebiasaannya, ia dibaca oleh jemaah sementara menunggu waktu solat. Terdapat 2 rak buku yang terletak di ruang legar masjid. Terdapat 54 buah Al-Quran dan 28 buah Al-Quran terjemahan serta 56 buah surah Yassin. Sebahagiannya diletakkan di tengah-tengah ruang masjid. Selain daripada itu, bahan bacaan lain seperti buku-buku ilmiah, kisah-kisah nabi dan para sahabat serta pelbagai lagi yang berkaitan dengan agama Islam turut disediakan. Terdapat juga majalah-majalah seperti Al-Islam dan risalah-risalah yang berkaitan dengan penyakit-penyakit dan sebagainya. Namun begitu, masjid ini tidak mempunyai perpustakaan sendiri, hanya ada sudut membaca sahaja.

Seperti masjid-masjid lain, masjid Nurul Hidayah ini juga memerlukan P. A system yang digunakan untukk mengalunkan azan, membuat pengumuman tentang aktiviti dan majlis-majlis rasmi seperti majlis perkahwinan dan pengumuman kematian kariah (F) Jelai 2. Masjid ini mempunyai lima buah speaker, empat daripadanya dipasang di empat penjuru kubah masjid. Lima buah mikrofon dan tiga buah sound turut terdapat dalam masjid ini. Ia digunakan ketika solat jumaat dan solat-solat lain serta dalam majlis anjuran masjid. Untuk keselamatan ia disimpan di dalam stor yang berkunci. Menurut imam masjid ini, 2 buah mikrofon telah hilang dan P. A system ini sudah beberapa kali mengalami kerosakan.

Dari pemerhatian saya, landskap masjid ini tidak begitu menarik, walaupun dihiasi dengan pasu-pasu bunga disekeliling masjid ini. Terdapat tiga tiang bendera di hadapan pintu masuk masjid. Masjid ini juga menyediakan sebuah bilik tetamu yang kebiasaannya digunakan apabila menerima kedatangan dif-dif terhormat atau orang-orang kenamaan.

Peralatan-peralatan lain seperti dua buah keranda dan perkakas mayat juga disediakan bagi menguruskan jenazah. Terdapat juga pinggan, mangkuk, kawah, periuk dan cawan yang digunakan untuk menyediakan makanan jika ada majlis-majlis anjuran masjid. Adakalanya, perkakas ini disewa untuk digunakan ketika majlis perkahwinan.

Selain daripada itu, masjid ini juga sering mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan untuk penduduk Felda Jelai 2 ini. Kuliah-kuliah maghrib dan subuh diadakan setiap hari. Kebiasaannya, ia disampaikan oleh imam masjid sendiri dan kadangkalanya oleh ustaz-ustaz yang dijemput khas atau musafir yang biasanya datang dari Negara Arab dan Indonesia. Ceramah agama untuk kaum ibu diadakan pada setiap petang Khamis. Aktiviti ini mendapat sambutan yang baik dari kaum ibu. Majlis bacaan Yassin diadakan setiap hari Khamis malam Jumaat dan kelas tajwid pada hari Jumaat. Di kawasan masjid ini telah didirikan Sekolah Agama Rakyat (F) Jelai 2 untuk anak-anak peneroka Felda mempelajari ilmu agama. Ia dibina setahun selepas masjid ini didirikan. Namun begitu, selepas kerajaan mengambil alih sekolah agama tersebut dan diserap ke sekolah harian biasa, bangunan kelas itu terbiar kosong. Kini khabarnya ia akan diubahsuai untuk dijadikan dewan masjid.

Kutipan khairat pula dikutip setiap bulan mengikut blok. Felda Jelai 2 mempunyai 24 buah blok. Setiap blok mempunyai seorang wakil yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip duit khairat kematian atau sumbangan untuk anak-anak yatim dan ibu tunggal, lebih-lebih lagi apabila Hari Raya semakin hampir. Selain itu, masjid Nurul Hidayah ini juga mengadakan gotong-royong setiap tahun. Gotong-royong ini meliputi tiga tempat iaitu kawasan masjid, kawasan penempatan peneroka dan kawasan kubur. Ia dijalankan secara berperingkat-peringkat selama tiga minggu. Semua peneroka dijemput untuk menyertainya. Walaupun bilangan mereka ramai dan sambutan yang menggalakkan, namun apa yang menyedihkan ada antara peneroka ini membuat endah tak endah dengan aktiviti yang membawa kebaikan untuk semua ini. Semua makanan untuk aktiviti ini disediakan oleh Gabungan Pergerakan Wanita (GPW) yang disertai oleh kaum ibu di Felda Jelai Dua ini. Semua perbelanjaan adalah hasil sumbangan yang dikumpul oleh setiap blok.

Seperti kebiasaannya, setiap masjid di seluruh negara pasti akan mengadakan majlis-majlis keagamaan seperti juga masjid Nurul Hidayah ini. Sambutan hari kebesaran dalam Islam adalah acara wajib yang disambut setiap tahun. Antara sambutannya ialah Awal Muharam, Hari Assyura’, Nisfu Sya’ban, Maulidur rasul dan Nuzul Al-Quran.

Walaupun semua aktiviti ini mendapat sambutan yang baik, tetapi ia masih belum sampai ke tahap yang boleh dibanggakan. Apa yang dikesali, kaum bapa dan golongan remaja agak kurang menyertai aktiviti masjid yang biasanya dimonopoli oleh kaum ibu dan kanak-kanak. Selain daripada itu, kurangnya peruntukan wang juga menjadi masalah untuk menganjurkan majlis-majlis seperti ini.

ORGANISASI MASJID NURUL HIDAYAH

Nama pengerusi : Encik Jaafar b. Harun
Alamat : Pejabat Felda Jelai 2, 73480 Gemas,
Negeri Sembilan.
Telefon : 06-4349829
Pekerjaan : Pengurus Felda Jelai Dua
Pendapatan : RM 3000
Usia : 45 tahun
Tempoh berkhidmat: 5 tahun.

Nama imam : Tn. Haji Md. Yassin b. Haji Abu Hassan.
Alamat : No. 287 Blok 21 (F) Jelai 2, 73480 Gemas, Negeri Sembilan.
Telefon : 06-4347828
Pekerjaan : Peneroka Felda
Pendapatan : RM 900
Usia : 55 tahun
Tempoh berkhidmat: 6 tahun

Nama siak : Encik Ali b. Yunus
Alamat : No. 408 Blok 9, (F) Jelai 2, 73480 Gemas, Negeri Sembilan.
Telefon : 06-4349940
Pekerjaan : Peneroka Felda
Pendapatan : RM 800
Usia : 52 tahun
Tempoh berkhidmat: 12 tahun

Nama bilal : Encik Hartoyo b. Haji Terajo
Alamat : No. 112 Blok 10 (F) Jelai 2, 73480 Gemas, Negeri Sembilan.
Telefon : 06-4348615
Pekerjaan : Peneroka Felda
Pendapatan : RM 800
Usia : 55 tahun
Tempoh berkhidmat: 10 tahun

Nama Bendahari : Encik Abu b. Ahmad
Alamat : No. 221, Blok 19, (F) Jelai 2, 73480 Gemas, Negeri sembilan.
Telefon : 06-4348216
Pekerjaan : Peneroka Felda
Pendapatan : RM 750
Usia : 51 tahun
Tempoh berkhidmat: 10 tahun

Duit yang terkumpul: RM 1500 (Januari-Julai 2005)
Duit yg masih belum digunakan: RM 500

Kelebihan masjid ini ialah ia adalah masjid yang terbesar dan boleh menampung ramai jemaah khususnya ketika solat Jumaat dan Hari Raya berbanding dengan tiga buah masjid lain dalam Felda Jelai ini. Di sini saya juga mencadangkan agar menyediakan satu perpustakaan di dalam bangunan kelas yang akan diubahsuai menjadi dewan itu. Ia boleh menarik golongan pelajar dan kanak-kanak mendekatkan diri dengan masjid.


Thursday, October 06, 2005



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments: