Friday, April 17, 2009

Maklumat Ringkas Mengenai Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria, Sungai Petani, Kedah.

Oleh: Pelajar Uitm Perlis

PENGENALAN
Masjid al-Muttaqin ini terletak di dalam kawasan perumahan Taman Ria iaitu dalam Mukim Sungai Petani di daerah Kuala Muda/Yan. Masjid al- Muttaqin ini mula di bina pada awal tahun 1995 dan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 1996 dengan menelan belanja sebanyak 1. 5 juta ringgit dan didirikan di atas tapak surau yg lama. Masjid ini siap dibina dengan terdiri daripada 2 tingkat bangunan solat, 2 tingkat bangunan pendidikan, dewan utama, bilik mesyuarat, bilik dan lain-lain lagi. Kedudukan masjid ini terletak di antara kawasan perumahan, kilang-kilang dan sekolah berasrama penuh serta Institut Kemahiran Mara. Ini menjadikan masjid ini sebagai tempat utama untuk untuk anak qaryah dan orang ramai untuk menunaikan solat dan menyertai kegiatan-kegiatan yg dianjurkan oleh pihak masjid.

KEMUDAHAN ASAS
Masjid al-Muttaqin ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang lengkap untuk memudahkan jemaah-jemaah masjid untuk beribadah. Antara kemudahan-kemahan yang terdapat di masjid ini adalah seperti bilik air. Terdapat 14 buah bilik air untuk tandas lelaki dan perempuan dan terdapat 4 buah bilik mandi bagi kegunaan lelaki dan perempuan. Bagi kemudahan pili pula, terdapat sejumlah 66 pili. Dimana sebanyak 42 pili terdapat di kawasan wuduk utama, 10 pili di sisi masjid dan 8 pili di dalam bilik air lelaki serta 6 pili di dalam bilik air perempuan. Masjid ini juga menyediakan 12 pasang trompah untuk kegunaan jemaah yang masuk ke tandas. Selain itu disediakan juga cermin muka yang dilekatkan di sinki tandas dan di hadapan kawasan wuduk. Bagi tabung bil air pula tidak terdapat di masjid ini dimana bil air dijelaskan menggunakan duit masjid yang terkumpul dan sebahagian sumber air di masjid ini disalurkan dari pam air bawah tanah. Selain itu kawasan bilik air dan tandas juga berada dalam keadaan baik dari sebarang kerosakan dan kekotoran.

Bagi ruang solat pula, masjid al-Muttaqin dilengkapi dengan karpet di ruang solat utamanya iaitu di tingkat atas dan bawah. Ruang solat di tingkat atas untuk jemaah perempuan dan di tingkat bawah adalah untuk jemaah lelaki. Setelah diubahsuai masjid ini mampu manampung jumlah jemaah sehingga 2000 orang pada satu satu masa. Untuk memudahkan jemaah dari kawasan luar untuk menunaikan solat, pihak masjid telah menyediakan kain pelikat dan telekong yang sebahagian besarnya diwakafkan daripada qaryah masjid ini. Demi mementingkan kebersihan, siak dan ahli jawatankuasa masjid akan membersihkan kawasan solat dari najis cicak dan sebagainya. Dari segi bahan bacaan, masjid ini mempunyai rak al-Quran yang terdapat pada setiap tiang dalam ruang masjid ini. Jumlah quran dianggarkan sebanyak 400 buah dan sebanyak 150 buah kitab terjemahan. Bagi kitab yasin pula, masjid ini mempunyai lebih daripada 1000 buah kitab digunakan untuk bacaan yasin pada setiap malam jumaat dan majlis bacaan yasin bagi anak-anak qaryah yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM. Masjid al-Muttaqin ini juga memili sebuah perpustakaan yang berhawa dingin. Perpustakaan ini terletak di tingkat atas bangunan pendidikan. Perpustakaan ini mengandungi pelbagai jenis bahan bacaan dan disediakan meja bacaan untuk memudahkan pembaca. Ia turut dilengkapi dengan sistem komputer. Terdapat hampir beribu bahan bacaan seperti majalah, risalah dan buku-buku lain didalam perpustakaan ini. Semua bahan bacaan ini adalah ihsan daripda Jabatan Penerangan Negeri Kedah dan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah serta sumbangan orang ramai.

Sistem P. A yang terdapat dimasjid ini agak lengkap. Terdapat hamper 30 buah speaker yang dipasang di bahagian dalam dan di sekitar bangunan masjid ini. Selain itu, sebanyak 4 mikrofon yang digunakan terutama untuk solat Jumaat dan majlis-majlis seumpamanya. Sistem keselamatan turut dipasang untuk mengelakkan sebarang kecurian. Tetapi setakat ini tiada sebarang kecurian direkodkan.

Susunan lanskap disekitar kawasan masjid ini agak menarik kerana terdapat ukiran nama masjid ini pada pokok perhiasan yang ditanam dan terdapat kira-kira ratusan pasu yang terdapat di sekeliling kawasan masjid yang mengandungi pelbagai jenis pokok perhiasan seperti pokok bunga kertas, bunga raya dan banyak lagi. Selain itukawasan parking dimasjid ini boleh memuatkan sebanyak 100 buah kereta dan 300 buah motosikal pada satu-satu masa. Terdapat juga 6 buah kerusi rehat disediakan disekitar kawasan masjid ini. Terdapat 6 tiang bendera yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri.

Peralatan lain yang turut disediakan didalam masjid ini seperti peralatan untuk mandi mayat dan menguruskan jenazah dimana masjid ini sendiri mempunyai sebuah bilik pengurusan jenazah. Peralatan yang terdapat ialah kain kafan, kapas, tab memandikan jenazah dan lain-lain lagi. Selain itu, masjid ini mempunyai sebuah kereta jenazah untuk memudahkan penghantaran jenazah ke tanah perkuburan. Selain itu juga, masjid ini turut menyediakan peralatan untuk mengadakan kenduri seperti khemah, kawah, pinggan mangkuk, meja, kerusi dan lain-lain sama ada untuk kegunaan masjid sendiri ataupun disewa untuk kegunaan orang ramai dan apa yang lebih menarik lagi ialah masjid ini sendiri memiliki kumpulan catering yang terdiri daripada ajk dan qaryah masjid. Ini dapat membantu sekiranya pihak masjid atau individu yang ingin membuat sebarang jamuan.


AKTIVITI-AKTIVITI MASJID
Masjid ini menjalankan pelbagai aktiviti berunsur keagamaan dan social untuk anak-anak qaryah mahupun orang ramai. Pelbagai bidang pengajian yang disediakan di masjid ini. Kuliah maghrib diadakan setiap hari kecuali pada malam jumaat manakala kuliah subuh pula diadakan setiap hari serta kuliah pagi yang diadakan pada setiap hari jumaat yang bermula pada pukul 8 sehingga 10 pagi. Bagi menjayakan kuliah ini, pihak masjid akan menjemput penceramah luar seperti Mufti Negeri serta penceramah-penceramah yang disegani. Bagi golongan ibu pula, masjid ini mengadakan bacaan kitab sebanyak 4 hari seminggu iaitu pada hari isnin, selasa, khamis dan sabtu. Ia akan disampaikan oleh Ustaz Haji Kabir ataupun Ustaz Haji Ramli. Kelas fardu ain untuk kanak-kanak diadakan setiap hari mengikut hari persekolahan. Ia diadakan dalam 2 sesi iaitu sesi pagi bagi bagi murid tahun 1 hingga 3 dan sesi petang bagi murid tahun 4 hingga 6. Kelas fardu ain ini diadakan di bahagian bangunan pendidikan masjid ini. Sejumlah 10 bilik darjah dibuka untuk tujuan ini dan seramai 12 orang ustaz dan ustazah ditugaskan untuk mandidik mereka dalam bacaan al-quran, ilmu fekah, tauhid, tajwid, sirah dan bahasa Arab.

Kutipan khairat dimasjid ini dikelolakan oleh ajk kebajikan masjid al-Muttaqin yang diketuai oleh En. Saidin bin Shuib. Yuran yang dikutip daripada setiap ahli ialah sebanyak RM50 setahun. Setakat ini khairat ini mempunyai seramai 600 orang ahli dan jumlah tahunan yang dikutip setiap tahun ialah sebanyak RM30, 000. Selain itu, ia turut disumbangkan kepada balu dan anak-anak yatim.

Gotong-royong dijalankan 2 kali setahun bagi membersihkan kawasan masjid dan tanah perkuburan. Hampir 200 anak-anak kariah dan orang ramai yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong ini. Setiap kali diadakan aktiviti ini, sedikit jamuan ringan disediakan. Selain dari itu, masjid ini mengadakan pelbagai aktiviti meraikan hari-hari kebesaran dalam islam ini. Contohnya, pada hari Awal Muharam dan Maulud Nabi, masjid ini akan program bacaan yasin dan ceramah perdana. Bagi hari ‘Asyura pula hidangan bubur asyura disediakan secara gotong-royong. Pada malam menjelang Nisfu Syaaban dan Nuzul al-Quran, bacaan quran sebanyak 30 juzuk diadakan dan disertai oleh ahli-ahli qaryah serta golongan-golongan belia. Selain itu, pada bulan Ramadan masjid ini akan memasak 4 kawah bubur lambuk dan mmengagihkannya kepada orang ramai. Selepas itu, ia diikuti dengan jamuan berbuka beramai-ramai. Pada malamnya, pihak masjid akan menjemput pelajar tahfiz dan imam jemputan untuk mengimamkan solat terawih pada 10 malam pertama dalam bulan Ramadan. selepas selesai solat terawih, program tadarus al-Quran dijalankan. Yang terakhir ialah masalah tada sambutan, masalah ini tidak timbul di masjid al-Muttaqin ini kerana setakat ini setiap program yang diadakan mendapat sambutan dari golongan ibubapa dan anak-anak. golongan belia banyak memberi sokongan dalam menjayakan setiap aktiviti yang dianjurkan dan ramai pihak tampil untuk memberikan sumbangan kewangan kepada pihak masjid.

ORGANISASI MASJID
Nama Pengerusi/Imam : Tuan Haji Osman bin Said
Alamat : 302, Lrg 10, Tmn. Ria, Sg. Petani, Kedah
Pekerjaan : Pesara guru agama
Pendapatan : RM600
Usia : 72 tahun
Lama berkhidmat : 1996-sekarang

Nama Siak : En. Abdul Hamid bin Abdul Rahman
Alamat : 3024, Jln Ria 2, Tmn. Ria, Sg. Petani, Kedah
Pekerjaan : Kerani IKM
Pendapatan : RM1200
Usia : 43 tahun
Lama berkhidmat : 1996-sekarang

Nama Bilal : Haji Ismail bin Khalim
Alamat : Tasik Apong, Sg. Petani, Kedah
Pekerjaan : Pesara (ustaz)
Pendapatan : RM500
Usia : 61 tahun
Lama berkhidmat : 1996-sekarang

Nama Bendahari : Dr. Haji Mansor bin Ahmad
Alamat : 444, Lrg. 2/2, Persiaran Kelab Cinta Sayang,
Kelab Cinta Sayang, Sg. Petani, Kedah
Pekerjaan : Doktor
Pendapatan : RM6000
Usia : 46 tahun
Lama Berkhidmat : 4 tahun

ULASAN BENDAHARI
Pendapatan bulanan masjid hasil daripada kutipan tabung setiap hari jumaat adalah dianggarkan sebanyak RM6, 200 dan sumbangan dari individu, syarikat swasta dan lain-lain sebanyak RM8, 500. Selain itu, terdapat lagi sumber pendapatan lain yang meningkatkan kutipan wang masjid seperti sewa yang dikenakan keatas syarikat telekomunukasi Celcom dan Maxis yang mencawangnya dalam kawasan masjid iaitu sebanyak RM4, 500 sebulan dan pendapatan tambahan daripada sewaan dewan utama. Wang ini digunakan untuk membeli segala peralatan keperluan masjid, saguhati kepada penceramah jemputan, saguhati kepada ajk masjid, menggaji guru-guru agama dan banyak lagi serta memperuntukkan sebanyak RM25, 000 untuk membaiki masjid. Setakat ini wang yang terkumpul adalah sebanyak RM400, 000. wang ini akan digunakan untuk kegunaan masjid pada masa akan datang.

KESIMPULAN
Mempunyai reka bentuk yang menarik serta bersih dan pernah dianugerahkan Masjid Tercantik Daerah Kuala Muda/Yan. Masjid ini mempunyai Dewan Seminar yang besar dan berhawa dingin, ia. dipilih sebagai tempat untuk mengadakan perjumpaan imam-imam seluruh negeri Kedah dan tempat berlangsungnya kursus haji. Selain itu, perpustakaan yang berhawa dingin, lengkap dengan sistem pengkomputeran juga terdapat di masjid ini.

Masjid ini mempunyai pendapatan sendiri dan tidak perlu mengharapkan kutipan derma dan sumbangan ihsan dari orang ramai dan mempunyai kemudahan kelas pendidikan serta kemudahan kerusi, meja, papan hitam dan lain-lain lagi bagi memudahkan system pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Secara keseluruhannya, masjid ini mempunyai kemudahan asas yang lengkap bagi keperluan ibadah penduduk sekitar kawasan ini. Aktiviti yang dijalankan di masjid ini turut mendapat sambutan orang ramai daripada pelbagai peringkat umur dan pengajian. Aktiviti-aktiviti ini juga dapat mengeratkan persaudaraan sesama islam yang melibatkan pelbagai golongan masyarakat.
.

Monday, October 03, 2005

No comments: